LYLES ketuai cabaran AS.
LYLES ketuai cabaran AS.
AFP

Nassau, Bahamas: Juara dunia berganda acara pecut individu Noah Lyles antara barisan atlet handalan yang akan menyertai Kejohanan Olahraga Berganti-Ganti Dunia di Bahamas dengan tiket ke Olimpik menjadi buruan hujung minggu ini.

Lyles meraih pingat emas dunia ketiganya di Budapest tahun lalu selepas mengetuai kemenangan pasukan Amerika Syarikat (AS) dalam acara berganti-ganti 4x100 meter (m).

Dia akan disertai bersama pemenang perak 200m Olimpik Kenny Bednarek dan Courtney Lindsey manakala empat pelari AS yang menang emas 4x100m di ibu kota Hungary turut tersenarai: Gabby Thomas, Tamari Davis, Tamara Clark dan Melissa Jefferson.

Lyles mencatat 9.96 saat (s) di Bermuda Isnin lalu manakala Tamari menang acara pecut wanita dengan 11.04s dan kedua-duanya menjadi sandaran untuk membantu kejayaan pasukan di Olimpik Paris.

Sejumlah 893 atlet daripada 54 negara berentap di Stadium Nasional Thomas A Robinson National di Nassau hujung minggu ini.

Beberapa jaguh dunia turut mengambil bahagian termasuk juara 400m berpagar dari Belanda Femke Bol, juara Olimpik 100m Itali Marcell Jacobs, jaguh tuan rumah Shaunae Miller-Uibo, juara 400m Olimpik Steven Gardiner dan juara 60m dalam dewan Devynne Charlton.

Jacobs mengetuai kuartet Itali yang masih mengekalkan barisan daripada kejohanan dunia lalu menyaksikan Roberto Rigali dan juara Olimpik Lorenzo Patta serta Filippo Tortu mengibar cabaran negara mereka.

Kejohanan terbabit adalah edisi keenam kejohanan Atletik Dunia yang kembali berlangsung di Nassau kali pertama sejak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 10:09 AM