BROMMEL (tiga dari kanan) melintasi garisan penamat terlebih dulu di GP USATF dalam acara 100m. FOTO Agensi
BROMMEL (tiga dari kanan) melintasi garisan penamat terlebih dulu di GP USATF dalam acara 100m. FOTO Agensi
AFP

Los Angeles: Pelari Amerika Syarikat (AS), Trayvon Brommel memenangi saingan 100 meter (m) dan penyandang juara dunia serta Olimpik, Shaunae Miller Uibo dari Bahamas memenangi saingan 400m di Grand Prix (GP) USATF di Oregon Relays.

Kejohanan, yang diadakan dalam cuaca sejuk dan lembap itu, adalah saingan elit pertama di Universiti Oregon, lokasi pemilihan Olimpik AS Jun ini dan Kejohanan Dunia tahun depan.

Brommel melonjak ke depan pada permulaan perlumbaan dan mendahului sejak dari awal untuk menang dengan catatan 10.01 saat (s), manakala juara dunia 200m, Noah Lyles di tempat kedua (10.17s) dan pelari Liberia, Emmanuel Matadi di tempat ketiga 10.19s.

"Saya bermula dengan baik, cuba untuk menghalang keadaan angin dan kekal fokus di dalam perlumbaan. Saya memang gembira," kata Brommel.

Lyles berkata, kejohanan berkenaan adalah langkah pertama persediaan ke Olimpik Tokyo.

Miller Uibo memenangi acara 400m dengan catatan 49.08s iaitu masa terbaik dunia tahun ini.

"Saya mahu memberikan larian terbaik dan melihat di mana kedudukan saya ketika ini. Saya rasa berada di tempat terbaik," kata Miller Uibo.

Pelari Nigeria, Blessing Okagbare memenangi acara 100m wanita dengan catatan 10.97s iaitu masa kedua terpantas di dunia tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 1:42 PM