LYLES ketika menjuarai kejohanan dunia dalam acara 200m. FOTO AFP
LYLES ketika menjuarai kejohanan dunia dalam acara 200m. FOTO AFP
AFP

New York: Juara dunia 200 meter (m) Noah Lyles dan juara dunia 100m, Fred Kerley akan bersaing dalam acara 200m di Grand Prix New York bulan depan.

Perlumbaan berkenaan bakal berlangsung pada 24 Jun akan menjadi medan untuk penambahbaikan bagi kedua-dua pelari pecut Amerika itu menjelang kejohanan AS dan Kejohanan Dunia pada Ogos ini di Budapest.

Lyles memenangi mahkota 200m dunia pada 2019 di Doha dan tahun lalu di Eugene, Oregon serta meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo.

Lyles, 25, mencatat rekod Amerika 19.31s di kejohanan dunia tahun lalu naik ke tempat ketiga dalam senarai pelari terbaik sepanjang zaman.

Minggu lalu, Lyles memenangi acara 150m dengan catatan 14.56s di Atlanta, masa ketiga terpantas pernah mencatatkan pada jarak itu.

Kerley, 28, meraih pingat perak 100m di Tokyo di belakang juara Olimpik, Marcell Jacobs dari Itali dan tempat ketiga di kejohanan dunia 2019 dalam acara 400m sebelum merangkul mahkota 100m dunia tahun lalu.

Kejayaannya dalam acara 200m tahun ini termasuk di Melbourne dengan catatan 20.32s dan di Doha dalam Liga Berlian 19.92s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 12:19 PM