DOOM membantu kuartet Belgium memenangi emas acara 4x400m lari berganti-ganti. FOTO REUTERS
DOOM membantu kuartet Belgium memenangi emas acara 4x400m lari berganti-ganti. FOTO REUTERS
AFP

Glasgow: Juara 400 meter (m) individu dari Belgium, Alexander Doom mempamer larian bertenaga untuk mengecewakan sensasi pecut Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles meraih emas dalam acara 4x400m lari berganti-ganti Kejohanan Tertutup Dunia, awal pagi tadi.

Doom, yang mengatasi Karsten Warholm dari Norway untuk mahkota 400m semalam, mempamer larian menakjubkan ketika membantu kuartet Belgium mencatat masa 3 minit 02.54 saat untuk mengecewaskan AS.

Lyles, yang sekadar meraih perak selepas ditewaskan rakan sepasukan, Christian Coleman dalam acara 60m, Sabtu lalu, disenaraikan pada saat akhir dalam acara itu.

Chris Bailey menjadi pelari utama untuk pasukan AS, yang dilihat mendahului dari permulaan sebelum Doom mencuri tumpuan dengan larian cukup bertenaga di depan penonton yang memenuhi Emirates Arena.

"Rakan sepasukan meletakkan saya dalam kedudukan terbaik. Saya tahu ada sesuatu yang boleh dicapai pada hujung perlumbaan.

"Saya berasa sedikit letih sejak beberapa hari lalu. Tetapi saya mendapat tenaga yang hebat pada penghujung larian. Sudah pasti saya sangat gembira," kata Doom.

Lyles menjelaskan pemilihannya di saat akhir itu apabila berkata: "Saya sudah beritahu yang saya mahu beraksi dalam acara 4x400m di Paris, jadi saya perlu membuktikan kemampuan saya.

"Saya bersyukur kerana rakan sepasukan mempercayai kemampuan saya untuk membuktikan bahawa saya boleh melakukannya. Saya rasa dapat menyelesaikan tugas ini dengan baik."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 9:26 AM