JURULATIH lompat tinggi negara, Lee Hup Wei. -FOTO NSTP
JURULATIH lompat tinggi negara, Lee Hup Wei. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penggantungan atlet lompat tinggi negara, Ngu Jia Xin selepas gagal dalam ujian doping tidak akan beri kesan besar kepada skuad negara untuk memburu lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.

Menurut jurulatih negara yang juga bekas jaguh lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei beliau kekal yakin Malaysia mampu terus menyinar sekiranya mampu mencungkil lebih ramai bakat-bakat baharu.

"Kalau untuk layak ke Sukan Sea, kategori lelaki dan wanita sepatutnya tidak ada masalah. Di peringkat Asia Tenggara sekarang, kategori lelaki mungkin agak susah sikit tetapi bagi kategori wanita kita ada peluang," katanya ketika ditemui Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan Tahun 2024.

Semalam, seorang atlet lompat tinggi negara yang turut berada dalam Program Podium, Ngu Jia Xin disahkan positif doping dan dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun daripada menyertai sebarang kejohanan bermula 2 Jun lalu hingga 1 Jun 2025.

"Kita kena cari dan fikirlah mengenai bakat baharu. Memang ada rasa kebimbangan tetapi sekarang kita buatlah apa yang boleh kita buat," katanya yang pernah meraih emas Sukan Sea sebanyak empat kali.

Ia disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk R Annamalai yang memaklumkan atlet wanita itu akan membuat rayuan susulan hukuman yang diterimanya.

"Keseluruhan proses dijalankan dengan telus dan mengikut Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM)," kata Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) menerusi satu kenyataan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 7:16 PM