FIFFY Arnatasya. FOTO Ihsan Polis
FIFFY Arnatasya. FOTO Ihsan Polis
BERNAMA

Kuala Pilah: Polis meminta orang ramai membantu mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di daerah ini sejak 18 hari lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Ghani berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan Fiffy Arnatasya Abdullah, kira-kira 1 pagi, 28 Jun lalu.

Beliau berkata remaja itu dilaporkan kali terakhir dilihat di Kampung Terusan, Juasseh pada 27 Jun.

"Berdasarkan siasatan awal, kehilangan itu merupakan kali kedua namun pada kehilangan pertama, ahli keluarga remaja berkenaan dapat menemukan dan membawa remaja itu pulang ke rumah.

"Kali ini remaja itu tidak pulang ke rumah sehingga hari ini, difahamkan dia juga tidak bersekolah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Fiffy Arnatasya berkulit kuning langsat, berketinggian kira-kira 150 sentimeter, berat sekitar 45 kilogram dan berambut warna separuh perang, lurus dan panjang separas bahu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah menerusi talian 06-484 2222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 9:34 PM