JIA Xin positif doping.
JIA Xin positif doping.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pintu sudah tertutup rapat untuk atlet lompat tinggi negara, Ngu Jia Xin memohon mengurangkan hukuman penggantungan selama dua tahun selepas disahkan positif doping.

Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) Azura Abidin berkata, ini kerana atlet berkenaan tidak hadir semasa sesi untuk memohon rayuan pada tarikh yang ditetapkan, iaitu 18 Mac lalu.

Justeru jelas Azura, hukuman penggantungan selama dua tahun daripada menyertai sebarang kejohanan bermula 2 Jun tahun lalu hingga 1 Jun 2025 kekal.

"Disebabkan atlet berkenaan tak hadir pada hari sepatutnya untuk (kemuka) rayuan, jadi kami kekal kepada keputusan (hukuman) asal. Sepatutnya dia perlu hadir pada 18 Mac tetapi akhirnya tak dapat dikesan. Kami sudah cuba ambil tindakan susulan dengan mencarinya, tapi tak berjaya.

"Bermakna kami tak dapat berhubung dengannya. Kami juga sudah beri surat, emel, cuba hubunginya (menerusi telefon) tetapi semua tak dapat," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa KBS, semalam.

Arena Metro pada Januari lalu melaporkan Jia Xin disahkan positif doping dan dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun daripada menyertai sebarang kejohanan bermula 2 Jun lalu hingga 1 Jun 2025.

Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 itu diuji positif pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang berlangsung pada Februari tahun lalu di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Menurut Adamas keputusan doping itu positif terhadap penggunaan bahan terlarang sibutramine. Bahan itu dikategorikan sebagai kesalahan bukan serius kerana ia bukan bahan perangsang seperti anabolic steroid atau erythropoietin (EPO) seperti disenaraikan Agensi Anti-Doping Dunia (Wada).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 2:20 PM