Jia Xin
Jia Xin
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk R Annamalai memaklumkan tempoh penggantungan atlet lompat tinggi kebangsaan, Ngu Jia Xin daripada menyertai sebarang kejohanan boleh dikurangkan.

"Kalau ikut budi bicara, pihak kita kemungkinan boleh kurangkan tempoh penggantungan berkenaan, mungkin daripada dua tahun kepada setahun saja.

"Hal ini kerana, barang yang atlet ini ambil bukan steroid tetapi hanya minuman untuk kesihatan.

"Bagaimanapun, kandungan dalam minuman itu didapati mempunyai bahan yang memang sudah dinyatakan terlarang Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas)," katanya.

Menurutnya, atlet berkenaan masih boleh menjalankan latihan dan berlatih di mana-mana tempat namun tidak dibenarkan sama sekali menyertai sebarang kejohanan dalam tempoh yang sudah ditetapkan.

Tambahnya, Jia Xin juga masih berpeluang menyertai program Podium dan kejohanan di luar negara selepas tempoh penggantungan berkenaan tamat.

Terdahulu, panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia memutuskan atlet lompat tinggi berkenaan sudah membuat pelanggaran Peraturan Anti-Doping Adamas 2021.

Hal ini secara tidak langsung menyebabkan Jia Xin digantung kejohanan selama dua tahun selepas didapati positif ujian kawalan doping yang dilakukan di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023.

Namun, Jia Xin boleh mengemukakan rayuan secara bertulis terhadap keputusan ini selewat-lewatnya pada 24 Januari ini kepada pihak Adamas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 4:20 PM