RAMLI, gambar fail. FOTO Bernama
RAMLI, gambar fail. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis meminta orang ramai yang menjadi mangsa taktik penipuan penyebaran video dan imej palsu atau deepfake yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) tampil membuat laporan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hal ini kerana hanya individu berkenaan yang boleh membuat pengesahan sekiranya wajah dan suara digunakan tanpa pengetahuan mereka untuk sebarang aktiviti yang menjurus kepada jenayah penipuan.

"Penipuan seperti ini memang sebenarnya berlaku dan ia semakin hari kita jangka akan terus berlaku… deepfake memang sesuatu yang sangat menyukarkan kerana ia memerlukan kesahihan orang yang menjadi mangsa.

"Contohnya apabila membabitkan pemimpin politik, hanya individu itu sahaja yang dapat menidakkan dan memberi pengesahan sekiranya terkesan dengan taktik terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ramli berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan membabitkan taktik seumpama itu namun menasihati orang ramai untuk tampil sekiranya menjadi mangsa.

Beliau berkata, pemerhatian pihaknya mendapati masyarakat dilihat cenderung terperdaya taktik deepfake yang dihasilkan menggunakan teknologi AI terutamanya membabitkan individu berpengaruh seperti ahli politik, ahli perniagaan dan selebriti.

Menurut Ramli, penghasilan video yang menggunakan imej serta suara individu berpengaruh itu juga boleh 'membuka' ruang kepada jenayah komersial.

"Taktik ini boleh beransur kepada kegiatan (jenayah) komersial contohnya boleh berlaku video daripada mereka yang berpengaruh seperti ahli politik, selebriti menggalakkan orang untuk melabur di negara ini menerusi skim tidak betul.

"Penularan video deepfake ini juga boleh menimbulkan keadaan huru-hara serta keadaan tidak harmoni jika tidak dibendung dari awal," katanya sambil menambah masyarakat diminta lebih berhati-hati dan mendapatkan pengesahan berkaitan sesuatu perkara yang tersebar sebelum menjadi mangsa.

Hari ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menasihati orang ramai untuk berwaspada dengan taktik penipuan deepfake yang dihasilkan menggunakan teknologi AI selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi mangsa kepada taktik terbabit.

Menurut Fahmi penggunaan AI sememangnya membantu pembangunan negara, namun ada pihak yang menyalahgunakan teknologi berkenaan.

Semalam penyanyi nombor satu negara itu dilaporkan mendedahkan taktik terkini digunakan 'scammer' yang dipercayai menggunakan teknologi AI bagi meniru suara dan wajahnya demi mengaut keuntungan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 9:58 PM