JIA XIN didapati positif sibutramine. -FOTO NSTP
JIA XIN didapati positif sibutramine. -FOTO NSTP
Aftar Singh dan Fadhli Ishak

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan bahawa atlet lompat tinggi kebangsaan Ngu Jia Xin didapati positif doping.

Berikutan itu, Jia Xin yang berasal dari Perak digantung dua tahun dari menyertai sebarang pertandingan bermula 2 Jun 2023 hingga 1 Jun 2025 selepas dikesan menggunakan bahan terlarang sibutramine di Kejohanan Olahraga Trek dan Padang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perubatan KOM Datuk R. Annamalai bagaimanapun berkata Jia Xin berhak merayu larangan itu.

"Dia berhak untuk merayu dan kita beri dia masa dua minggu untuk berbuat demikian," katanya.

Terdahulu, makmal Anti-Doping, Doha, Qatar mengesahkan keputusan analisis sampel menemukan bahan terlarang kelas S6 Stimulants - sibutramine iaitu bahan yang disenaraikan dalam senarai yang dilarang penggunaannya semasa pertandingan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Bagaimanapun Jia Xin bukanlah atlet pertama negara yang didapati positif menggunakan Sibutramine.

Atlet wushu yang meraih emas ketika Sukan Asia Incheon 2014, Tai Cheau Xuen turut didapati bersalah menggunakan bahan berkenaan.

Atlet terjun wanita Wendy Ng turut digantung dua tahun kerana kesalahan yang sama.

Sibutramine dikategorikan sebagai kesalahan bukan serius kerana ia bukan bahan perangsang seperti anabolic steroid atau erythropoietin (EPO) seperti yang disenaraikan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Sibutramine disenaraikan di bawah kategori S6 oleh Kod Anti-Doping Dunia WADA.

Sibutramine bukan bahan perangsang prestasi dan ia digunakan terutama bagi mengurangkan berat badan.

Ia boleh didapati dalam kebanyakan produk penurunan berat badan dan agak mudah diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 5:56 PM