AKSI sengit Gombak FC menentang Malaysian University FC. FOTO Gombak FC
AKSI sengit Gombak FC menentang Malaysian University FC. FOTO Gombak FC
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malaysian University FC akan meneruskan kaedah pertukaran skuad utama dalam setiap perlawanan Liga A1 Semi Pro kerana yakin pemain boleh menggalas tanggungjawab penting yang diberikan.

Ketua jurulatih Malaysian University FC, Ridzuan Abu Shah berkata, beliau tidak perlu risau berkenaan siapa pemain yang akan diturunkan kerana baginya mereka mempunyai skuad menyeluruh untuk bermula sebagai kesebelasan utama dalam setiap perlawanan.

Jelasnya, beliau akan meneruskan cara itu kerana secara tidak langsung juga, kesemua pemain akan lebih bersedia dalam latihan kerana mempunyai peluang yang amat tinggi untuk diberikan kepercayaan sebagai pemain utama dalam satu-satu perlawanan.

"Saya tetap meneruskan saya punya falsafah iaitu cara pertukaran pemain dalam setiap perlawanan yang kami lalui. Contohnya, semalam (menentang Gombak FC), saya tukar penjaga gol utama yang bermain sebelum ini dengan memberikan peluang kepada pemain lain.

"Bila pertukaran seperti ini berlaku, saya minta setiap pemain ini bersedia setiap masa kerana mereka tidak akan menyangka siapa akan bermain dalam pasukan saya. Saya bersyukur, apabila 25 pemain kesemuanya ada kebolehan yang hampir sama untuk saya menurunkan mereka tanpa mengira waktu.

"Pertukaran itu akan berlaku sekurang-kurang empat ke lima pemain untuk setiap perlawanan. Ini untuk skuad utama ya, bila masuk separuh masa kedua, kita akan melakukan pertukaran mengikut keadaan semasa dalam perlawanan itu," katanya kepada Arena Metro.

Beliau berkata, meskipun ketika ini prestasi pasukan Malaysian University FC agak positif, beliau tetap waspada dan akan menyediakan pasukan yang terbaik untuk bertemu lawan lebih kuat selepas ini.

"Alhamdulillah selepas empat perlawanan, pemain saya menunjukkan peningkatan dari segi permainan dan kebolehan. Menuju ke arah akan bersaing dengan pasukan pasukan yang lebih hebat, maksud saya pasukan yang lebih hebat ini adalah pasukan yang mempunyai import.

"Mungkin sedikit sebanyak mengganggu juga tapi kita tetap fokus kita punya program," kata Ridzuan.

Setakat ini, Malaysian University FC berada di kedudukan kelima liga selepas mencatat tiga kemenangan dan satu kekalahan untuk mengumpul sembilan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 9:36 PM