JIA XIN didapati positif bahan terlarang S.6 Stimulants - sibutramine. -FOTO NSTP
JIA XIN didapati positif bahan terlarang S.6 Stimulants - sibutramine. -FOTO NSTP
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Atlet lompat tinggi kebangsaan Ngu Jia Xin digantung dua tahun selepas didapati positif ujian kawalan doping yang dilakukan di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023.

Jia Xin yang memenangi pingat emas Sukma 2022 digantung selama dua tahun dari menyertai sebarang penyertaan bermula 2 Jun 2023 hingga 1 Jun 2025 selaras dengan Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan Agensi Anti-Doping Dunia Kod 2021.

Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia memutuskan atlet berkenaan sudah membuat pelanggaran Peraturan Anti-Doping Adamas 2021.

Menurut Adamas, keseluruhan proses dijalankan dengan telus dan mengikut Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM) yang berkuat kuasa.

"Proses pengujian kawalan doping dan analisis sampel yang diterima adalah sah dan mematuhi Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan piawaian antarabangsa semasa.

"Prinsip kebertanggungjawaban mutlak (Principle of Strict Liability) adalah terpakai kepada atlet, bermakna setiap atlet harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan yang terdapat dalam sampel urin dan atau sampel darah mereka yang diambil semasa pengujian kawalan doping, tidak kira sama ada atlet itu secara sengaja atau tidak sengaja menggunakan bahan atau kaedah terlarang.

"Oleh itu, adalah penting untuk semua atlet dan kakitangan sokongan atlet mematuhi peraturan anti-doping dan memahami tanggungjawab mereka di bawah Kod Anti-Doping Dunia", kata kenyataan itu.

Terdahulu, Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar mengesahkan keputusan analisis sampel menemukan bahan terlarang kelas S.6 Stimulants - sibutramine iaitu bahan yang disenaraikan dalam senarai yang dilarang penggunaannya semasa pertandingan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Selepas menerima notis pertuduhan berkenaan, atlet lompat tinggi itu memohon secara bertulis untuk mengadakan satu sesi pendengaran di hadapan Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia.

Pada masa sama, Adamas turut memaklumkan atlet boleh mengemukakan rayuan secara bertulis terhadap keputusan ini selewat-lewatnya pada 24 Januari ini kepada pihak Adamas.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Kesatuan Olahraga Malaysia Datuk R Annamalai mengesahkan perkara itu dan berkata: "Jia Xin berhak merayu larangan itu dan boleh berbuat demikian dalam masa dua minggu".

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 4:08 PM