LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Rosli Ilham


Chukai: Polis selesai mengambil keterangan pekebun yang dipercayai menggunakan biskut beracun untuk mengumpan kera yang menceroboh tanaman sehingga menyebabkan seorang pelajar nyaris maut selepas termakan biskut terbabit.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebaik selesai mengambil keterangan, warga emas berusia 75 tahun itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis, petang tadi.

"Pekebun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis daerah Kemaman kira-kira 2 petang dan kita selesai merakam percakapan pekebun itu.

"Siasatan lanjut berhubung dengan kejadian itu terus dilakukan polis termasuk mengenal pasti racun yang digunakan," katanya ketika dihubungi.

Hanyan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan Kerana cuai berkenaan dengan benda beracun.

Jumaat lalu, mangsa Mohd Daynail Haikal Alias, 13, dilaporkan pengsan selepas memakan biskut terbabit kira-kira 1.45 tengah hari.

Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Berita berkaitan

'Anak saya menggelupur seperti ayam disembelih' - Ayah mangsa biskut beracun

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 10:40 PM