NUR Farah Kartini. FOTO Ihsan Pembaca
NUR Farah Kartini. FOTO Ihsan Pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: "Saya sedang tunggu pengesahan jika benar itu dia (Nur Farah Kartini)," kata penyelia wanita mengenai penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25 yang dipercayai dibunuh selepas dilaporkan hilang Rabu lalu.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, setakat ini dia tidak menerima sebarang maklumat berhubung penemuan mayat berkenaan.

"Saya dimaklumkan abang kepada Nur Farah Kartini dalam perjalanan ke lokasi (penemuan mayat)," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, mayat Nur Farah Kartini ditemukan pada 6 petang, hari ini di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.

Susulan penemuan mayat berkenaan polis menahan penjawat awam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan susulan penemuan mayat wanita berkenaan

"Pemeriksaan awal mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim.

"Susulan penemuan mayat berkenaan polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum ini, portal ini melaporkan polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada 1.56 pagi, 10 Julai lalu.

Kali terakhir wanita berkenaan dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.

Berita berkaitan

'Pulanglah, semua orang tunggu Farah...'

Polis mohon bantuan kesan Nur Farah Kartini

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 10:47 PM