ATLET berkenaan akan digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan. FOTO FATHIL ASRI
ATLET berkenaan akan digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan. FOTO FATHIL ASRI
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Terdapat atlet olahraga dilaporkan gagal dalam ujian doping yang dijalankan olehAgensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) ketika Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (Kom) 2023.

Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini bagaimanapun tidak mendedahkan status individu itu sama ada dia atlet kebangsaan atau sebaliknya memandangkan kejohanan itu membabitkan beberapa kelab dan pasukan negeri.

"Pengesahan keputusan diterima dari Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar (ADLQ) bagi analisis sampel atlet olahraga berkenaan dengan penemuan bahan terlarang dalam sampel berkenaan iaitu dalam kelas S.6 Stimulants- sibutramine.

Sibutramine bahan yang disenaraikan dalam senarai bahan yang dilarang penggunaannya sewaktu pertandingan oleh Agensi Anti Doping Dunia (Wada).

"Atlet akan digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan lain sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan. Dalam tempoh ini, atlet akan diberi peluang untuk mempertahankan diri dan memberikan sebarang bukti untuk menyokong pembelaan beliau.

"Keseluruhan proses akan dijalankan dengan telus dan mengikut peraturan anti-doping yang ditetapkan.Prinsip kebertanggungjawaban mutlak (Principle of Strict Liability) adalah terpakai kepada atlet.

"Ini bermakna setiap atlet harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan yang terdapat dalam sampel urin dan/atau sampel darah mereka yang diambil semasa pengujian kawalan doping, tidak kira sama ada atlet itu secara sengaja atau tidak sengaja menggunakan bahan atau kaedah terlarang," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, Pihak Adamas juga akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan kepada Adamas Anti-Doping Rules 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 12:02 PM