JIA Xin digantung dua tahun kerana didapati positif doping. FOTO ARKIB NSTP
JIA Xin digantung dua tahun kerana didapati positif doping. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengharapkan atlet lompat tinggi negara yang digantung dua tahun kerana didapati positif doping, Ngu Jia Xin tidak berputus asa dan terus menjalani latihan seperti biasa, biarpun tidak dibenarkan menyertai sebarang pertandingan dalam tempoh penggantungannya.

Ini kerana, atlet berkenaan masih berpeluang untuk menyertai kontinjen negara di Sukan Sea Bangkok pada 9 hingga 20 Disember, tahun depan.

Hukuman Jia Xin bermula sejak 2 Jun 2023 dan akan tamat pada 1 Jun 2025 selepas dikesan bersalah menggunakan bahan terlarang sibutramine di Kejohanan Olahraga Trek dan Padang, Februari tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perubatan KOM, Datuk R Annamalai berkata, KOM tidak akan menghalang atlet berkenaan sekiranya dia layak untuk berbuat demikian.

Namun, katanya, semuanya terpulang kepada panel rayuan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) yang akan meneliti semula hukuman berkenaan selepas Jia Xin menghantar permohonan rayuan untuk meringankan hukumannya bagi membolehkannya menyertai kejohanan lebih awal bagi memburu syarat kelayakan.

"Sekarang ini terpulang kepada budi bicara Adamas. Mungkin hukuman itu akan kekal dua tahun atau mungkin dapat dikurangkan.

"Ini kerana bahan diambil Jia Xin itu bukanlah steriod, tapi ia adalah barang terlarang yang didapati dalam minuman kopi pelangsing diambil oleh Jia Xin. Biarpun begitu barangan itu tetap bahan terlarang," katanya.

Sibutramine dikategorikan sebagai kesalahan bukan serius kerana ia bukan bahan perangsang seperti anabolic steroid atau erythropoietin (EPO) seperti disenaraikan Agensi Anti-Doping Dunia (Wada).

Sibutramine disenaraikan di bawah kategori S6 oleh Kod Anti-Doping Dunia WADA.

Sibutramine bukan bahan perangsang prestasi dan ia digunakan terutama bagi mengurangkan berat badan.

Ia boleh didapati dalam kebanyakan produk penurunan berat badan dan agak mudah diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 7:09 PM