HANNAH ketika sidang media Program Fast Track Skuasy di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
HANNAH ketika sidang media Program Fast Track Skuasy di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya meletakkan satu sasaran iaitu pingat emas bagi sukan skuasy pada temasya Olimpik Los Angeles 2028.

Bagi merealisasikan perkara itu, satu peruntukan khas dikeluarkan kepada empat pemain skuasy terdiri daripada S Sivasangari, Ng Eain Yow, Aifa Azman dan Aira Azman yang berada di bawah program Fast Track Road To Goal (RTG) Olimpik Los Angeles 2028.

Atlet di bawah inisiatif baru ini akan menerima geran latihan individu berbentuk bantuan kejurulatihan khusus, peralatan latihan dan pemulihan, perkhidmatan sokongan perubatan dan sains sukan, pendedahan latihan luar negara serta khidmat kepakaran teknikal dalam sukan masing-masing.

Perkara itu diumumkan oleh Menterinya Hannah Yeoh dalam satu sidang media yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Hannah berkata, segala permintaan pemain akan cuba dipenuhi yang mana ia akan bermula apabila musim baru bermula dari Ogos hingga Mac ini.

"Kita sudah perincikan program latihan peribadi mereka. Jika sebelum ini mereka hanya mendapat kurang dari 10 pertandingan tapi di bawah program baharu ini mereka akan mendapat sekurang-kurang 12 hingga 16 pertandingan dalam kalendar Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

"Pertandingan ini penting untuk mereka meningkatkan prestasi dan ranking kerana mereka perlu memenuhi sasaran yang ditetapkan antaranya meningkatkan ranking dunia serta memenangi pingat di temasya Sukan Asia dan Komanwel 2026," katanya.

Di bawah program itu, Sivasangari yang akan berpangkalan di Ithaca, New York akan menjalani latihan di bawah David Palmer sebagai jurulatih peribadi serta mendapat perkhidmatan jurulatih fizikal Mark Burn.

Pemenang emas Sukan Asia Hangzhou itu juga akan menerima perkhidmatan sokongan sains sukan dan perubatan sukan di pusat latihan beliau serta di Institut Sukan Negara (ISN).

Manakala Eain Yow memilih untuk berlatih di Msquash Norwalk, Connecticut Amerika Syarikat (AS) di bawah jurulatih Shaun Moxham dan akan turut menjalani kem latihan pusat di Kaherah, Mesir.

Bagi dua adik beradik iaitu Aifa dan Aira Azman persiapan awal mereka akan lebih tertumpu kepada menjalani kem latihan pusat di ibu negara bersama jurulatih Andrew Sam Cross dan akan menjalani latihan secara berkala di Pontefract, United Kingdom.

Kedua- dua atlet ini juga akan dibantu jurulatih fizikal yang dikenal pasti dan prestasi fizikal mereka dipantau oleh ISN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 9:47 PM