STUART Ramalingam, Penyelaras Jawatankuasa RTG.
STUART Ramalingam, Penyelaras Jawatankuasa RTG.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet yang terpilih menyertai Program Road to Gold (RTG) tidak perlu untuk menuruti sebarang komitmen ketat apabila diminta menandatangani persetujuan komitmen (LOC).

Menurut Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam LOC itu bertujuan bagi memastikan mereka komited dan bertanggungjawab terhadap semua sokongan atau bantuan yang diberikan.

"Kami hanya mahu mereka beri laporan selepas semua sokongan atau bantuan yang diberikan menerusi peruntukan yang diberikan kerajaan atau daripada RTG.

"Kami mahu pastikan apa yang diminta dan diperlukan atlet serta jurulatih digunakan secara betul dan memberikan impak yang positif," katanya ketika ditemui hari ini.

Ujar Stuart, LOC yang ditandatangani itu juga tidak akan menjejaskan komitmen mereka dengan penaja masing-masing.

"Kami percaya sebagai atlet profesional, laporan seperti ini adalah perkara biasa. Kami hanya wujudnya semak dan imbang bagi membuktikan semua berjalan dengan betul.

"Tiada sebarang komitmen yang diperlukan secara komersial atau tiada apa-apa yang diambil daripada atlet termasuk hak imej dan sebagainya," katanya.

Tambah Stuart, LOC itu bukan isu besar kerana atlet lain sudah menandatanganinya dan ia bagi membuktikan komitmen atlet kepada program berkenaan.

"Kami tidak mahu hari ini mereka masuk, tapi selepas tiga bulan mereka rasa tidak mahu, mereka nak keluar begitu saja," katanya.

Beliau memberi penjelasan berkenaan selepas pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak mahu menandatangani LOC sekali gus menolak untuk berada di bawah program RTG.

Pemain itu memaklumkan kepada sekritariat RTG, semalam bahawa dia menghargai tawaran diberikan tetapi merasakan dirinya tidak memerlukan sokongan tambahan yang ditawarkan dalam program berkenaan.

Menurut Stuart, pihaknya menghormati dan menerima keputusan Zii Jia selepas dia menolak untuk menyertai program berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima keputusan itu dengan terbuka dan fokus akan diberikan kepada atlet lain yang terpilih.

"Kami tidak berasa terlalu kecewa dengan keputusannya kerana ia tidak mengubah apa-apa perancangan yang sudah disusun RTG," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 8:14 PM