LEE Zii Jia. FOTO ASYRAF HAMZAH
LEE Zii Jia. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain badminton profesional lelaki negara, Lee Zii Jia memohon untuk diberikan sedikit lagi masa sebelum membuat keputusan menandatangani persetujuan komitmen (LOC) bagi menyertai Program Road to Gold (RTG).

Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) semalam mengadakan pertemuan dengan penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam yang turut dihadiri Zii Jia dan jurulatihnya, Wong Tat Meng.

Stuart berkata, pertemuan berkenaan berjalan dengan lancar dengan pemain di ranking ke-11 dunia itu memohon untuk diberikan sedikit lagi masa bagi dia meneliti butiran perjanjian berkenaan.

"Pertemuan bersama Zii Jia dan Team LZJ berlangsung semalam untuk kami membincangkan perkara ini.

"Persetujuan sudah dicapai dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk Zii Jia mengambil sedikit masa lagi bagi dia meneliti kontrak berkenaan dan mempertimbangkan program serta perkhidmatan sokongan ditawarkan kepada dirinya dalam RTG.

"Dia akan berikan maklum balas kepada sekretariat RTG dalam masa terdekat," kata Stuart.

Bagaimanapun Stuart menegaskan bahawa tempoh masa yang diberikan itu sehingga 14 November ini kekal dengan Zii Jia perlu memberi jawapan sebelum tarikh itu.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan Zii Jia adalah satu-satunya daripada 15 atlet yang tersenarai dalam RTG masih belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan berkenaan.

Dia diberikan tempoh selama 14 hari sehingga 14 November bagi melengkapkan komitmen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 3:35 PM