STUART memaklumkan pihak pengurusan Zii Jia sudah menghubunginya dan mesyuarat akan diadakan minggu ini. FOTO ARKIB NSTP
STUART memaklumkan pihak pengurusan Zii Jia sudah menghubunginya dan mesyuarat akan diadakan minggu ini. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persoalan sama ada pemain badminton perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia bersetuju untuk berada di bawah program Road To Gold (RTG) atau tidak, akan terjawab dalam masa terdekat.

Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam ketika dihubungi mengesahkan pihak pengurusan Zii Jia sudah menghubunginya dan mesyuarat akan berlangsung minggu ini.

"Kami akan maklumkan perkembangan ini selepas mesyuarat berlangsung. Buat masa sekarang, saya harap tiada spekulasi yang ditimbulkan.

"Kami melihat perkara ini secara positif dan dapat memuktamadkan isu kontrak selepas perjumpaan diadakan," katanya.

Terdahulu, Zii Jia adalah satu-satunya daripada 15 atlet tersenarai di bawah program RTG yang tidak menandatangani perjanjian persetujuan komitmen (LOC) RTG.

Dia diberi tempoh sehingga 14 November ini untuk menandatangani kontrak perjanjian persetujuan komitmen baharu untuk terus berada dalam program RTG.

Sementara itu, Pengerusi bersama jawatankuasa RTG, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria turut mengharapkan maklum balas positif dari pihak Zii Jia.

Ini kerana, lebih cepat pemain yang menghuni ranking ke-11 dunia itu menandatangani kontrak, lebih banyak bantuan boleh disalurkan di bawah program RTG.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 7:32 PM