STUART berkata segala keperluan dan kemahuan atlet RTG yang dijangka akan siap dikumpulkan menjelang pertengahan bulan Mei. FOTO Bernama
STUART berkata segala keperluan dan kemahuan atlet RTG yang dijangka akan siap dikumpulkan menjelang pertengahan bulan Mei. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Rata-rata 15 atlet yang disenaraikan dalam Projek Road To Gold (RTG) meminta supaya diberikan lebih banyak pendedahan kejohanan, sistem sokongan sains sukan serta pemakanan bagi meningkatkan lagi prestasi semasa mereka ketika ini.

Penyelaras RTG, Stuart Ramalingam, berkata, pihaknya sudah berjumpa hampir separuh daripada atlet yang terbabit yang mana kesemua mereka menyatakan hasrat dan keinginan masing-masing dalam memaksimumkan potensi dimiliki ke arah pencapaian prestasi tertinggi.

Menurut Stuart, segala keperluan dan kemahuan atlet RTG yang dijangka akan siap dikumpulkan menjelang pertengahan bulan Mei ini akan di bawa ke Jawatankuasa RTG bagi tujuan penilaian dan kelulusan.

"Sejak tempoh hari, kita sudah berjumpa dengan hampir separuh atlet dan beberapa atlet masih di luar negara. Mengenai perjumpaan saya, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Lee Zii Jia (pemain badminton profesional lelaki) ia adalah antara permulaan proses pengumpulan keperluan semasa atlet.

"Ia akan dibawa untuk pertimbangan dalam Jawatankuasa RTG, maklumat yang diterima amat bagus, kebanyakan atlet amat positif dengan adanya projek RTG dan keperluan serta sistem sokongan tambahan yang akan diberi...mungkin pada pertengahan Mei (pengumpulan) keperluan atlet selesai," katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa RTG mengumumkan 15 nama awal atlet prospek pingat emas dengan 11 pemain badminton tersenarai.

Antara yang disenaraikan ialah pemain beregu wanita negara, M Thinaah dan Pearly Tan; beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pemain-pemain profesional termasuk Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki) serta dua beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Melengkapkan senarai 15 atlet program RTG adalah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dari sukan terjun.

Pada masa sama, Stuart berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan jurulatih atlet masing-masing untuk memastikan segala permintaan mereka selaras dengan apa yang diperlukan dari sudut kejurulatihan.

"Mungkin daripada senarai (atlet) daripada 10, kita boleh melakukan lima dan mengambilnya secara berperingkat. Buat masa ini saya percaya bahawa kita sedang menuju ke arah yang betul.

"Saya sangat positif dengan perbualan kerana semua atlet melihat perkara ini dari segi objektif terhadap Sukan Olimpik dan bukannya sesuatu yang peribadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 3:26 PM