STUART tuntut semua atlet sentiasa komited demi merangkul emas sulung negara di Sukan Olimpik.
STUART tuntut semua atlet sentiasa komited demi merangkul emas sulung negara di Sukan Olimpik.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet yang berada dalam program Road To Gold (RTG) tidak boleh berasa selesa dan relaks kerana akan berlaku proses penyingkiran serta pengambilan baharu berdasarkan semakan dari semasa ke semasa bergantung kepada prestasi.

Perkara itu diakui Penyelaras RTG, Stuart Ramalingam yang menyatakan senarai nama atlet dalam program itu sentiasa dipantau dan bukannya kekal kepada 15 orang seperti diumumkan sebelum ini.

"Ini adalah senarai yang sentiasa akan bekerja. Hari ini kita mempunyai 15 orang atlet, tapi mungkin selepas ini berkurang berdasarkan penurunan prestasi mereka dalam beberapa bulan," katanya.

Ujar Stuart, jawatankuasa RTG akan sentiasa melakukan pemeriksaan dan semakan untuk memastikan atlet yang disenaraikan dalam program itu sentiasa komited dan mencapai sasaran prestasi.

"Mereka bukan masuk untuk relaks sahaja. Dua atau tiga bulan akan ada semakan. Kita tidak boleh fikir mengenai pengguguran sahaja, akan berlaku pengambilan baharu.

"Jadi mereka yang ada di dalam program ini tidak boleh selesa sebenarnya. Setiap atlet yang disenaraikan sudah menandatangani perjanjian agar terus memberi komitmen.

"Persetujuan mereka membabitkan peruntukan yang amat tinggi. Mereka harus komited dengan projek memburu emas ini," kata Stuart.

Tambahnya, program itu bukan diadakan semata-mata kerana atlet, tetapi apa yang diperlukan negara, jadi beliau harus memastikan atlet yang berada dalam RTG memberi komitmen tinggi dalam perjalanan untuk menggapai emas Olimpik pertama.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa RTG mengumumkan 15 nama atlet prospek pingat emas dengan 11 pemain badminton tersenarai.

Mereka adalah pemain beregu wanita negara, M Thinaah dan Pearly Tan; beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pemain profesional termasuk Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki) serta dua beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Empat lagi atlet adalah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dari sukan terjun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 5:22 PM