LEE Zii Jia. FOTO Agensi
LEE Zii Jia. FOTO Agensi
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pengurus pasukan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Yii mengambil maklum berkenaan isu belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan komitmen bersama program Road To Gold (RTG) disebabkan beberapa perkara.

Pengurusnya berkata, Lee Zii Jia dan pihaknya sedang berusaha untuk memastikan kerjasama antara kedua-dua pihak itu berjalan dengan lancar.

"Disebabkan jadual pertandingan dan latihan yang padat, kami sedang cuba untuk mengatur pertemuan dengan RTG, selepas pertemuan baru kami boleh berkongsi lebih banyak maklumat,"katanya kepada Arena Metro.

Pemain yang berada di ranking ke-11 dunia itu antara prospek harapan negara untuk menang pingat di Olimpik Paris 2024.

Semalam, penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, hanya tinggal Zii Jia yang belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan komitmen bersama RTG.

"Semua atlet lain sudah menandatanganinya, tapi kita faham kerana dia sibuk mengikuti pertandingan di luar negara dan baru balik ke tanah air.

"Jawatankuasa memberi masa sehingga 14 November untuk dia menandatangani persetujuan untuk komitmen ini," kata Stuart.

Pada sama sama, Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi RTG, Hannah Yeoh berkata, Zii Jia mempamerkan aksi konsisten dalam beberapa kejohanan terakhir sehingga Oktober lalu termasuk muncul juara di Terbuka Artik dan ke final Terbuka Denmark.

"Prestasinya dari Jun hingga sekarang naik tiga tangga ranking dunia dan 11 anak tangga dalam kedudukan kelayakan,"kata Hannah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 1:42 PM