CHRIS Martin masih bekerja di bawah Mas. FOTO NSTP
CHRIS Martin masih bekerja di bawah Mas. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad renang negara dijangka melalui proses perubahan besar-besaran apabila bakal dikendalikan oleh ketua jurulatih dan pengarah teknikal baharu yang selepas Persekutuan Renang Malaysia (Mas) mengiklankan jawatan berkenaan di laman web Akuatik Dunia (WA).

Menurut Setiausaha Agung Mas, Andy Low setakat ini mereka sudah menerima 20 lebih permohonan untuk kedua-dua jawatan berkenaan dan akan melakukan sedikit pemilihan berikutan ada yang memohon dengan jangkaan gaji tinggi.

"Selepas melihat justifikasi permohonan berkenaan kita akan membawa senarai ini kepada Majlis Sukan Negara (MSN) di Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) yang dijangka hujung bulan ini atau awal Disember," katanya.

Ujar Andy, selepas ini renang juga akan memiliki ketua jurulatih dan pengarah teknikal sama seperti bahagian terjun.

"Semua ini sedang diuruskan oleh Nurul Huda Abdullah kerana beliau bertanggungjawab untuk bahagian renang, ia termasuk mengiklankan jawatan yang kita kehendaki di laman web WA," katanya.

Ditanya mengenai kedudukan ketua jurulatih sebelum ini, Chris Martin, Andy mengakui bahawa pengendali kelahiran Amerika Syarikat itu masih lagi bekerja di bawah Mas.

"Kontrak beliau (Martin) akan berakhir tahun ini, jika tak dapat mana-mana tawaran dan beliau hendak sambung tugasan kejurulatihan berkemungkinan beliau akan bekerja di bawah ketua jurulatih baharu nanti.

"Semua bergantung kepada persetujuannya, kita masih belum membuat apa-apa keputusan," katanya.

Skuad renang negara membawa pulang satu emas tiga perak dan empat gangsa ketika di Sukan Sea Kemboja 2023 Mei lalu.

Di Sukan Asia Hangzhou 2022 kemarau 21 tahun tidak meraih pingat di temasya berkenaan terus berlarutan apabila pencapaian terbaik hanyalah melalui Khiew Hoe Yean yang menduduki tempat ke empat final 400 meter gaya bebas lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 1:17 PM