KIM Fatt (tiga dari kanan) memberi kata-kata perangsang ketika mengadakan lawatan dan perjumpaan bersama atlet terjun negara, hari ini. FOTO AIDA ADILAH MAT
KIM Fatt (tiga dari kanan) memberi kata-kata perangsang ketika mengadakan lawatan dan perjumpaan bersama atlet terjun negara, hari ini. FOTO AIDA ADILAH MAT
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) memaklumkan dua jawatan iaitu pengarah teknikal dan pengurus prestasi tinggi sukan terjun akan diisi tenaga tempatan.

Bulan lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan akan melantik pengarah teknikal dan pengurus prestasi tinggi bagi kem terjun dan renang negara dan sesi temu duga bagi sukan terjun sudah dijalankan, hari ini, membabitkan enam calon bagi mengisi dua jawatan berkenaan.

Manakala bagi sukan renang, ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

Setiausaha Kehormat MS, Andy Low berkata, beliau menaruh harapan tinggi dan yakin dengan keupayaan anak tempatan yang harus diberi peluang untuk mengisi jawatan berkenaan.

"Kami sudah lakukan sesi temu duga hari ini dan lima daripadanya adalah bekas Olimpian negara.

"Untuk dua jawatan itu saya akan memperjuangkan pengambilan tenaga tempatan. Kenapa tidak. Kami ada Olimpian. Jika kami ambil orang luar pun mereka juga Olimpian. Jadi, kami cuba dulu orang tempatan.

"Bahasa dan budaya yang memang sudah difahami. Kami perlu beri kepercayaan kepada orang kita dulu, ini asyik ambil orang luar saja. Tapi jika mereka gagal, baru ada alasan kukuh untuk kami ambil orang luar.

"Kalau untuk jawatan ketua jurulatih itu mungkin kami akan ambil tenaga luar," katanya.

Jelas Andy, empat calon menjalani temu duga untuk jawatan pengarah teknikal adalah Datuk Leong Mun Yee, Bryan Nickson Lomas, Mohd Azheem Bahari dan Khairul Safwan Mansur.

Manakala dua calon untuk mengisi tugas Pengarah Prestasi Tinggi adalah Rossharisham Roslan dan Kelvin Chong.

Kata Andy, siapa yang akan mengisi jawatan berkenaan akan diketahui selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Terdahulu, MSN meluahkan rasa kecewa dengan prestasi keseluruhan skuad terjun negara pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun, baru-baru ini.

Ia turut menjadi antara sebab perubahan dan pembentukan dua jawatan baru ini yang sebelum ini tidak pernah diwujudkan.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt ketika mengadakan sesi lawatan dan perjumpaan bersama atlet terjun negara di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini, berkata sasaran untuk temasya itu akan diumumkan selepas sesi perjumpaan bersama persatuan sukan.

Katanya, satu sesi bengkel bersama persatuan sukan akan diadakan pada 22 Ogos ini untuk mengetahui secara lebih terperinci sasaran yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 6:19 PM