Setiausaha Agung MAS, Andy Low. FOTO ARKIB NSTP
Setiausaha Agung MAS, Andy Low. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) memperoleh 'resume berkualiti' bagi jawatan pengarah teknikal dan ketua jurulatih skuad renang negara, termasuk mereka pernah melahirkan perenang berkaliber yang beraksi di pentas Olimpik.

Setiausaha Agung MAS, Andy Low berkata, sekurang-kurangnya tiga calon dari jawatan pengarah teknikal dan empat untuk jawatan ketua jurulatih mempunyai resume yang cukup cemerlang.

"Tiada satu pun calon tempatan yang memohon, sebaliknya kami menerima permohonan 26 individu yang berminat untuk jawatan ketua jurulatih dan pengarah teknikal.

"Kebanyakan yang memohon adalah dari luar negara antaranya Kanada, Australia dan Amerika Syarikat (AS) dan ada antara mereka pernah melahirkan perenang di Olimpik," katanya.

Jelas Andy, ketika ini pihaknya hanya menunggu kelapangan masa pegawai dari Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengadakan sesi temu duga calon bagi kedua-dua jawatan berkenaan.

"Kami sudah siapkan senarai (calon), hanya menunggu kelapangan masa pegawai (MSN) untuk mengadakan sesi temu duga.

"Kami berharap akan dapat melakukan sesi temu duga pada minggu depan," katanya.

Jelas Andy, sekiranya semua pihak bersetuju mahu mendapatkan pengarah teknikal dan ketua jurulatih yang berkualiti, maka gaji perlu dibayar kepada calon terpilih itu sememangnya agak tinggi.

"Memang kami perlukan bantuan MSN dan kami sedang mencari syarikat besar yang boleh menguruskan gaji jurulatih dan pengarah teknikal.

"Kontrak yang biasanya ditawarkan adalah dua tahun tetapi untuk ketua jurulatih, kami tidak boleh melihat kepada perancangan jangka pendek sahaja.

"Jika hendak lahirkan perenang berkaliber, minimum khidmat mereka diperlukan antara empat hingga enam tahun," katanya.

Sebelum ini, MAS sudah melantik dua bekas atlet kebangsaan di bahagian terjun iaitu Bryan Nickson Lomas sebagai pengarah teknikal manakala Khairul Safwan Mansur menggalas tugas selaku pengarah prestasi tinggi.

Di Sukan Asia Hangzhou 2022, kemarau 21 tahun gagal meraih pingat di temasya itu terus berlarutan apabila pencapaian terbaik skuad renang hanyalah melalui Khiew Hoe Yean yang menduduki tempat ke empat final 400 meter gaya bebas lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 7:03 PM