DHABITAH masih menjadi sandaran Malaysia. FOTO BERNAMA
DHABITAH masih menjadi sandaran Malaysia. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengakui bahawa penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri masih memiliki kemampuan untuk beraksi dalam tiga acara.

Menurut Setiausaha Agung MAS Andy Low, prestasi penerjun itu di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu dipengaruhi faktor kecederaan triceps lengan bukan akibat kemerosotan prestasi.

"Isu kepenatan beraksi dalam tiga acara yang disuarakan Dhabitah sebaik tiba Malaysia baru-baru ini hanyalah keluhan. Itu bukan isulah, dari dulu dia bermain tiga acara hingga Sukan Asia Hangzhou, tetapi dia ada juga mengadu penat ketika itu," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Bedah Siasat Bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) semalam.

Ujar Andy, mungkin betul juga Dhabitah kepenatan memandangkan usia penerjun berkenaan sudah menjangkau 20-an (24 tahun).

"Perkara itu (keluhan)… tanyalah kepada dia (Dhabitah) saya tak boleh menjawab bagi pihaknya.

"Tetapi bagi persatuan, dia masih seorang yang berbakat untuk ketiga-tiga acara itu, malah perkara ini disahkan jurulatih sendiri," kata Andy.

Tambahnya, walaupun setiap acara dipertandingkan dalam hari berbeza, namun pusingan kelayakan dan final bagi satu-satu acara kebiasaannya berlangsung pada hari yang sama dan perkara itu mendatangkan rasa penat.

"Pada hari itu (di Doha) dia hanya maklumkan bahawa tiga acara itu penat, tapi dia beraksi dengan baik namun terkesan hanya kecederaan yang dialami.

"Kami akan lihat dan bincang perkara ini, jika itu (satu acara) yang dia mahukan, OK. Mungkin selepas ini tidak perlu mengharapkan sangat dan kalau dia tak berdaya lagi untuk acara-acara ini, kita akan gunakan pelapis baharu," kata Andy.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan, selepas ini akan dipertimbangkan untuk penerjun itu hanya beraksi dalam satu acara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 12:45 PM