SHAHIDAN tidak dicabar bagi jawatan Presiden MAS. FOTO ARKIB NSTP
SHAHIDAN tidak dicabar bagi jawatan Presiden MAS. FOTO ARKIB NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persekutuan Renang Malaysia (MAS), sekali gus mempertahankan kedudukannya bagi penggal 2023/2025.

Shahidan dari Perlis yang mula menduduki kerusi nombor satu MAS sejak 1996 menjadi calon tunggal bagi jawatan itu selepas pencalonan ditutup pada 9 Jun lalu bagi pemilihan kepimpinan baharu MAS untuk penggal 2023/2025 yang akan diadakan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, Sabtu ini.

Dalam pada itu, perebutan jawatan timbalan presiden menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara penyandang dari Perak, Oon Kee Seng, Ng Yau Loong (Johor) dan Anthony Kong (Sarawak).

Bagi jawatan naib presiden, persaingan akan membabitkan ketua jurulatih Selangor, Marilyn Chua yang menentang Datuk Nawawi Reduan dari Melaka.

Tumpuan pemilihan pastinya terarah kepada jawatan Setiausaha Agung MAS yang menyaksikan penyandangnya sejak 2015, Mae Chen dari Kuala Lumpur akan bersaing dengan calon dari Negeri Sembilan, Andy Low.

Legenda renang negara, Nurul Huda Abdullah dari Selangor akan menentang Tan Chin Chin (Kuala Lumpur) bagi perebutan jawatan timbalan setiausaha agung manakala penyandang jawatan itu, May Tan memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi itu.

Bagi jawatan bendahari, penyandang dari Kuala Lumpur, Nancy Yap akan bersaing dengan Yan Kong Lee (Terengganu) manakala Tasha Jane (Penang), Goh Kah Yi (Negri Sembilan), Dr Chee Pao Kam (Kedah), Haris Lua Abdullah (Johor), Azwan Abd Halim (Sabah) and Sung Jun Hao (Melaka) akan bersaing merebut lima kerusi Exco.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 4:49 PM