JUWAIDI (kanan) bersama Fatin Nurfatehah (kiri) tewas di tangan gandingan India di suku akhir compound berpasukan campuran. FOTO FB MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
JUWAIDI (kanan) bersama Fatin Nurfatehah (kiri) tewas di tangan gandingan India di suku akhir compound berpasukan campuran. FOTO FB MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
Syafiq Aznan


Hangzhou: Gandingan pemanah negara, Juwaidi Mazuki dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh gagal melangkah ke separuh akhir acara compound berpasukan campuran di Sukan Asia 2022, hari ini.

Kemaraan mereka disekat gandingan India, Ojas Pravin Deotale-Jyothi Surekha Vennam pada aksi suku akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Fuyang Sinhu.

Juwaidi-Fatin melakukan catatan 155 mata iaitu kurang tiga mata daripada gandingan Ojas Pravin-Jyothi yang mencatat 158 mata.

Gandingan India itu kemudiannya menewaskan gandingan Kazakhstan 159-154 di separuh akhir dan memenangi pingat emas selepas menumbangkan gandingan Korea Selatan di pentas final.

Sementara itu, Fatin menyifatkan nasib tidak menyebelahi apabila terpaksa bertemu gandingan Ojas Pravin-Jyothi yang menghuni kedudukan pertama seawal pusingan suku akhir.

"Nasib tidak berdepan baik kerana ranking tidak berapa cantik membuatkan kami bertemu ranking nombor satu di suku akhir.

"Saya akui memang pasukan India memegang gelaran untuk acara compound berpasukan campuran.

"Kami sudah melakukan yang terbaik. tetapi nampaknya mereka lebih baik. Kami akan cuba lagi selepas ini," katanya.

Sebagai rekod, gandingan Ojas Pravin-Jyothi sebelum ini muncul juara acara compound berpasukan campuran pada Piala Dunia 2023, Antalya di Turki pada April lalu.

Terdahulu, gandingan negara mara ke suku akhir selepas mengetepikan gandingan dari Singapura, Loh Tze Chien Contessa-Woon Teng Ng selepas meraih 158 mata berbanding Singapura yang mencatat 151 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 2:12 PM