PETUGAS-PETUGAS kontraktor sibuk membuat persiapan akhir di tapak Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur. FOTO Bernama
PETUGAS-PETUGAS kontraktor sibuk membuat persiapan akhir di tapak Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuantan: Tanpa membayar sebarang kos, pengunjung berpeluang mendapatkan perkhidmatan servis motosikal, pendingin hawa dan pengilat lampu kenderaan secara percuma sepanjang tiga hari program Madani Rakyat 2024 Zon Timur yang bermula hari ini.

Bertempat di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), bersebelahan Dataran Sayangi Kuantan yang menjadi tapak utama Program Madani Rakyat Zon Timur, perkhidmatan yang ditawarkan GiatMARA itu membolehkan pengunjung berjimat antara RM100 hingga RM200.

Tenaga pengajar Teknologi Automotif GiatMARA Paya Besar Pahang Ahmad Nazren Mohd Fauzi berkata seramai 15 pelajar terbabit bagi menjalankan servis pendingin hawa selain perkhidmatan tambahan mengilat lampu hadapan kenderaan secara percuma.

"Di sini kita buat servis asas seperti pemeriksaan penapis (filter) dan gas. Kalau melibatkan baik pulih kecil kita buat terus tetapi kalau baik pulih besar kita tak dapat buat di sini," katanya kepada Bernama.

Ringkasan Berita
  • Servis motosikal, pendingin hawa dan kilat lampu secara percuma
  • Pengunjung akan jimat antara RM100 hingga RM200
  • Program 3 hari bermula semalam
  • Terhad kepada 100 orang terawal
  • Ahmad Nazren berkata perkhidmatan yang ditawarkan di Program MADANI Rakyat Zon Timur itu lazimnya boleh mencecah ratusan ringgit mengikut harga pasaran.

    Sementara itu, perkhidmatan servis motosikal pula ditawarkan oleh GiatMARA Kuala Krau, Pahang membabitkan tujuh pelajar berusia 16 hingga 25 tahun.

    "Di sini kita membuat servis penukaran minyak hitam motosikal secara percuma dan kita juga ada buat pemeriksaan am bagi memastikan motosikal itu berada dalam keadaan baik," kata Pengurus GiatMARA itu Mohammad Zaid Othman.

    Beliau berkata perkhidmatan percuma berkenaan terhad kepada 100 motosikal sehari selama tiga Program Madani Rakyat Zon Timur berlangsung.

    Bagi pelajar GiatMARA Mohd Daniel Ahmad, 17, penyertaannya di program berkenaan sangat berguna bagi menimba pengalaman baharu selain dapat berkhidmat kepada masyarakat.

    "Saya harap orang ramai datang untuk mendapatkan perkhidmatan percuma di sini dan dalam masa yang sama dapat membantu kami (pelajar) menambah pengetahuan," katanya.

    Seorang pengunjung, Norhamiza Harun, 42, berkata beliau mendapat maklumat mengenai perkhidmatan berkenaan melalui media sosial dan tidak berlengah untuk hadir pada hari pertama program.

    "Saya datang dari Balok, Kuantan. Servis ini percuma, jadi rugi kalau kita tidak ambil peluang ini," katanya yang mendapatkan perkhidmatan servis pendingin hawa dan mengilat lampu hadapan kereta.

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 3:02 PM