FATIN ketika beraksi dalam pusingan kelayakan Compound individu wanita pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat Sukan Fuyang Yinh. FOTO ASYRAF HAMZAH
FATIN ketika beraksi dalam pusingan kelayakan Compound individu wanita pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat Sukan Fuyang Yinh. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


Hangzhou: Pemanah compound wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh hanya mampu menyalahkan diri sendiri selepas gagal mara ke peringkat seterusnya apabila tersingkir di pusingan 1/16 acara compound individu wanita di Sukan Asia 2022, sebentar tadi.

Atlet berusia 32 tahun itu tewas tipis di tangan pemanah Thailand, Mannesombatkul Kanyavee 140-141 di Pusat Sukan Fuyang Yinhu sekali gus terpaksa akur perjalanannya dalam acara individu wanita kali ini sudahpun berakhir.

Bagaimanapun, dia masih bersaing dalam acara berpasukan campuran bersama Juwaidi Mazuki selepas gandingan itu mara ke suku akhir dan bakal berdepan India, Rabu ini.

"Sedih, kecewa pun ada tetapi saya boleh katakan ia adalah kesilapan saya sendiri. Saya bermula dengan baik tapi pada 'end' kedua, saya ketinggalan empat mata dan saya cuba mengejar semula sehinggalah ke 'end' terakhir.

"Saya cuma ketinggalan satu mata sahaja tetapi tidak sempat. Jadi saya akan fokus untuk acara berpasukan campuran," katanya.

Selepas pusingan awal bagi acara compound, hanya Juwaidi berjaya mengesahkan kemaraan ke suku akhir dan bakal berdepan wakil Korea Selatan, Joo Jaehoon, esok (Selasa).

Juwaidi sebelum itu meraih kemenangan 146-145 ke atas pemanah Singapura, Woon Teng Ng pada pusingan 1/16 sebelum cemerlang mengetepikan atlet Bhuta, Dorji Tandin 147-146 pada pusingan 1/8.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pemanah negara, Alang Arif Aqil Muhammad Ghaz yang tidak berjaya mengiringi Juwaidi ke peringkat seterusnya selepas tewas 145-149 di tangah pemanah Korea Selatan, Yang Jaewon pada pusingan 1/8.

Dia sebelum itu mengesahkan slot ke pusingan 1/8 hasil kemenangan ke atas atlet Bhutan, Khendrup menerusi keputusan 146-138.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 4:25 PM