FATIN tidak berada di prestasi terbaik. FOTO/AFP
FATIN tidak berada di prestasi terbaik. FOTO/AFP
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain


HARAPAN disandarkan kepada pemanah compound negara dalam acara campuran tidak kesampaian apabila gandingan Mohd Juwaidi Mazuki dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh tewas tipis di pusingan kedua, sebentar tadi.

Selepas mendapat bye pusingan pertama, mereka diramalkan mampu menghadirkan sesuatu bagi acara compound dengan laluan agak mudah untuk mara sekurang-kurangnya ke pentas separuh akhir.

Malah gandingan mereka pernah mara ke suku akhir siri Piala Dunia Shanghai pada awal tahun ini.

Bagaimanapun Malaysia terpaksa akur apabila mengumpul 152 mata, kurang satu berbanding lawan dari Singapura yang bakal menentang Filipina di suku akhir.

"Memang tidak puas hati tapi secara peribadi panahan saya berada dalam prestasi terbaik," kata Juwaidi yang meneruskan rentak konsisten dalam panahan sejak melakar tiga rekod kebangsaan di pusingan penentuan ranking beberapa  hari lalu.

Bagaimanapun Fatin Nurfateh dilihat tidak berada pada tahap terbaik.

"Saya tidak tahu apa berlaku pada dia namun saya harap dia dan rakan sepasukan kekalkan semangat untuk hadapi acara berpasukan lusa," katanya.

Turut kecundang seawal pusingan kedua adalah gandingan campuran recurve negara, Khairul Anuar Mohamad dan Nur Aliya Ghapar.

Selepas cemerlang menewaskan Tajikistan 6-0 di pusingan pertama, Malaysia terpaksa akur kecundang kepada Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 4:04 PM