JUWAIDI (kanan) bersama Fatin Nurfatehah (kiri) mengalahkan gandingan Singapura untuk mara ke suku akhir compound berpasukan campuran. FOTO FB MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
JUWAIDI (kanan) bersama Fatin Nurfatehah (kiri) mengalahkan gandingan Singapura untuk mara ke suku akhir compound berpasukan campuran. FOTO FB MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
Syafiq Aznan


Hangzhou: Pengajaran diperoleh ketika final Pusingan Ketiga Piala Asia 2023 Singapura, Jun lalu, membantu gandingan compound berpasukan campuran negara, Juwaidi Mazuki-Fatin Nurfatehah Mat Salleh mengetepikan cabaran Singapura pada pusingan 1/8, hari ini.

Juwaidi-Nurfatehah sebelum ini dikecewakan pemanah Singapura yang ketika itu dibarisi Loh Tze Chien Contessa-Eer Jiang Ying, namun di Pusat Sukan Fuyang Yinhu, gandingan negara membalas dendam ke atas Tze Chien-Woon Teng Ng menerusi keputusan 158-151.

"Walaupun Fatin ada turun naik sedikit, selepas berlatih dan saling membantu satu sama lain, kami dapat melepaskan panahan yang baik.

"Kami pernah bertemu pemanah Singapura sebelum ini dan tewas di final Piala Asia.

"Jadi, kami tidak mahu mengulangi kesilapan sama dan beraksi dengan sangat baik hari ini.

"Kami melakukan catatan agak tinggi yang menyamai rekod kebangsaan iaitu 158 mata," kata Juwaidi.

Kejayaan itu menyaksikan Juwaidi-Nurfatehah mengesahkan slot ke suku akhir dan bakal berdepan India, Rabu ini.

Juwaidi turut membawa skuad compound lelaki negara mara ke suku akhir bagi acara compound berpasukan lelaki dengan mengetepikan Bangladesh 231-229.

Mengulas lanjut prestasi bagi acara compound berpasukan lelaki, mereka sedikit bergelut apabila sentiasa bersaing rapat dengan Bangladesh sebelum pemanah yang tampil buat kali pertama di Sukan Asia, Mohamad Syafiq Md Ariffin mendapatkan kembali rentaknya.

"Agak sukar sedikit kerana kita ada pemanah baru (Syafiq) dan ada sedikit tekanan, namun pada pusingan terakhir itu, dia dapat bangkit selepas agak takut-takut sebelum itu.

"Selepas dia mendapatkan semula permainannya, semuanya berjalan dengan baik dan kami mengetepikan Bangladesh dengan kelebihan dua mata," katanya.

Gandingan negara dibarisi Juwaidi, Syafiq dan Alang Ariff Aqil Muhammad Gaz itu akan berdepan Iran pada aksi suku akhir, Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 2:31 PM