FOODPANDA Malaysia.
FOODPANDA Malaysia.

Kuala Lumpur: Foodpanda Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), semalam, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang akan memberi jaminan kewangan dan manfaat kepada 50,000 pekerja gig sebagai rakan penghantar Foodpanda.

MoU ini membolehkan rakan penghantar Foodpanda mencarum setiap bulan ke akaun KWSP melalui program i-Saraan, iaitu program simpanan secara sukarela bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin.

Pengarah Operasi Foodpanda Malaysia, Shubham Saran berkata, rakan penghantar memainkan peranan yang penting dalam ekosistem syarikat itu.

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif 'panda hearts', kami terus memperbaiki apa yang kami lakukan untuk meningkatkan pengalaman penghantaran mereka.

"Kami berhasrat untuk menyediakan sumber dan sokongan yang mereka perlukan untuk berjaya dalam peranan masing-masing," katanya pada majlis memeterai MoU itu.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin, manakala Shubham mewakili Foodpanda Malaysia.

Foodpanda akan bekerjasama dengan KWSP untuk mendidik rakan penghantar mengenai kepentingan dan kemudahan menyimpan untuk persaraan mereka melalui KWSP.

Untuk melakukannya, kedua-dua pihak akan mengadakan ceramah mengenai perancangan persaraan dan kewangan serta membantu rakan penghantar mendaftar dan menyediakan akaun KWSP.

Kedua-dua pihak akan menyediakan kaunter pendaftaran di acara rakan penghantar, termasuk pertukaran beg di seluruh negara.

Selain itu, kerjasama untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakan penghantar termasuk melalui aktiviti di lapangan.

Sistem baharu juga akan dilaksanakan, membolehkan rakan penghantar memilih untuk sumbangan automatik kepada akaun KWSP, yang difasilitasi oleh Foodpanda.

Saran menambah, Foodpanda Malaysia berharap dapat meneruskan perkongsian dengan KWSP untuk memperkenalkan lebih banyak faedah kepada rakan penghantar pada masa hadapan.

"Kami menggalakkan semua rakan penghantar untuk mendaftar dan mula proses penjimatan hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 3:07 PM