PEMANAH compound berpasukan lelaki (dari kiri) Mohamad Syafiq, Alang Ariff Aqil dan Mohd Juwaidi mara ke suku akhir selepas mengalahkan pemanah Bangladesh, hari ini. FOTO BERNAMA
PEMANAH compound berpasukan lelaki (dari kiri) Mohamad Syafiq, Alang Ariff Aqil dan Mohd Juwaidi mara ke suku akhir selepas mengalahkan pemanah Bangladesh, hari ini. FOTO BERNAMA
Syafiq Aznan


Hangzhou: Pemanah compound negara memperagakan aksi cemerlang setakat ini apabila mara ke suku akhir dalam acara compound berpasukan lelaki dan compound berpasukan campuran.

Trio pemanah negara bagi acara compound berpasukan lelaki dibarisi Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Gaz dan Mohamad Syafiq Md Ariffin mengetepikan cabaran pemanah dari Bangladesh, Ashikuzzaman Mohamad, Rana Md Sohel dan Rahman Mithu Bangladesh pada pusingan 1/8 di Pusat Sukan Fuyang Yinhu, pagi tadi.

Berbekalkan 231 mata dan 229 mata milik Bangladesh, Malaysia menempah pertemuan menentang Iran di suku akhir, Khamis ini.

Juwaidi yang berpasangan bersama Fatin Nur Fatehah Mat Salleh dalam acara compound berpasukan campuran mara ke suku akhir selepas mengetepikan gandingan dari Singapura, Loh Tze Chien Contessa-Woon Teng Ng.

Pasangan negara itu cemerlang meraih 158 mata berbanding Singapura yang mencatat 151 mata untuk mara ke separuh akhir berdepan India, Rabu ini.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami gandingan recurve berpasukan campuran negara yang dibarisi Muhammad Zarif Shahir Zolkepli-Syaqiera Mashayikh terpaksa akur tumbang di tangan gandingan India, Bhakat Ankita-Das Atanu.

Mereka tewas 2-6, sekali gus gagal mara ke peringkat suku akhir selain gandingan Syaqiera, Ku Nurin Afiqah dan Nurul Izzah Mazlan yang tewas di tangan Indonesia (Choirunnisa Diananda, Octavia Rezza dan Putri Anindya Nayla) dengan keputusan sama.

Trio recurve negara turut gagal mara ke suku akhir bagi acara recurve berpasukan lelaki dengan Indonesia sekali lagi menjadi penghalang kepada Zarif, Khairul Anuar Mohamad dan Muhammad Syafiq Bustaman dengan keputusan 3-5.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 1:37 PM