JUWAIDI dan Faten bergambar bersama pemanah Singapura. FOTO Majlis Olimpik Malaysia
JUWAIDI dan Faten bergambar bersama pemanah Singapura. FOTO Majlis Olimpik Malaysia
Syafiq Aznan


Hangzhou: Gandingan pemanah negara dalam acara compound berpasukan campuran, Juwaidi Mazuki-Fatin Nurfatehah Mat Salleh jelas perlu memperagakan aksi luar biasa bagi menghadapi cabaran pemanah India, Ojas Pravin Deotale-Jyothi Surekha Vennam di suku akhir, esok.

Situasi itu diakui Juwaidi selepas dia menyifatkan lawannya itu lawan benar-benar kuat sekali gus menganggap ia pertembungan paling sukar yang harus dilalui gandingan negara pada Sukan Asia 2022.

"Pasangan India itu betul-betul kuat, bukan sikit-sikit punya kuat. Sebenarnya kita pun tidak jauh beza dengan mereka cuma kadang-kadang kalau kita beraksi dengan baik pun, kita boleh kalah.

"Menentang India ini memang berat (sukar) sedikit dan kita tahu mereka ada banyak juara Piala Dunia, juara dunia untuk lelaki dan wanita. Jadi kita harapkan sesuatu yang luar biasa minggu ini dan perlukan aksi sangat terbaik," kata Juwaidi.

Sebagai rekod, gandingan Ojas Pravin-Jyothi sebelum ini muncul juara acara compound berpasukan campuran pada Piala Dunia 2023, Antalya di Turki pada April lalu.

Sementara itu, Nurfatehah bersedia memberikan aksi lebih baik pada suku akhir acara terbabit dan mahu tampil dengan prestasi lebih baik berbanding ketika acara individu sebelum ini.

"Kita akan menentang gandingan di ranking pertama dan di atas kertas, mereka memang kuat. Tetapi dalam memanah, apa sahaja boleh terjadi dan kami akan cuba lakukan yang terbaik demi negara," katanya.

Terdahulu, gandingan negara mara ke suku akhir selepas mengetepikan gandingan dari Singapura, Loh Tze Chien Contessa-Woon Teng Ng selepas meraih 158 mata berbanding Singapura yang mencatat 151 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 4:56 PM