JUWAIDI (kanan) dan Fatin bersama pingat emas yang dimenangi.
JUWAIDI (kanan) dan Fatin bersama pingat emas yang dimenangi.
Mohd Khairie Khalid


MALAYSIA terus menambah pingat emas dalam sukan memanah kali ini disumbangkan pasangan compound berpasukan campuran negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Juwaidi Mazuki.

Malaysia menang 152-142 mengatasi Myanmar dengan perbezaan 10 mata pada aksi final di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Emas Malaysia itu meleburkan hasrat gandingan Myanmar, Aung Ngeain-Ye Min Swe dan mereka terpaksa berpuas hati di tempat kedua untuk meraih pingat perak.

Set pertama menyaksikan Malaysia mendahului selepas 38-37 namun mata pasangan Myanmar itu dipotong kerana bidikan Min Swe tersasar pada End 1. Malaysia terus selesa apabila mendahului 74-65 pada set kedua.

Set ketiga Malaysia terus unggul dengan kutipan 114-104 dan kemenangan disahkan pada set keempat dan terakhir apabila Malaysia unggul 152-142.

Terdahulu pada suku akhir, pemanah Malaysia mengalahkan Singapura (Ang Han Teng-Madeleine Ong) 155-149 sebelum mengatasi Vietnam (Chau Kieu Oanh-Tien Cuong Nguyen), 154-152 pada separuh akhir.

Pingat gangsa diraih Vietnam yang menang ke atas Filipina (Amaya Amparo Cojuangco-Paul Marton De la Cruz) 159-155.

Semalam, Malaysia meraih dua emas dalam sukan memanah menerusi compound berpasukan wanita diwakili Fatin, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Saritha Cham Nong serta compound berpasukan lelaki (Lee Kin Lip, Juwaidi dan Zulfadhli Ruslan).

Pada hari pertama kejohanan, Fatin menghadiahkan pingat gangsa dalam acara individu wanita manakala Juwaidi memenangi perak individu lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 12:17 PM