JUWAIDI sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan miliknya pada pusingan kelayakan. FOTO Ihsan Achery World Cup
JUWAIDI sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan miliknya pada pusingan kelayakan. FOTO Ihsan Achery World Cup
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemanah negara, Mohd Juwaidi Mazuki menyambut Aidilfitri jauh di perantauan dengan membuat panahan yang memberikan dua pingat gangsa untuk negara di Piala Dunia Peringkat 1 di Antalya, Turkiye, semalam.

Atlet memanah compound berusia 32 tahun itu mengekalkan tumpuannya untuk menamatkan masing-masing acara individu lelaki dan pasukan campuran bersama Fatin Nurfatehah Mat Salleh di tempat ketiga, menurut lawan sesawang rasmi Memanah Dunia.

Gandingan Juwaidi-Fatin Nurfatehah membawa pulang gangsa pasukan campuran itu selepas memenangi persaingan sengit menentang wakil Itali, Marco Bruno-Elisa Roner dengan mata 19-18 selepas kedua-dua pasukan seri 157 mata.

Terdahulu, wakil Malaysia itu tewas tipis kepada Ojas Pravin Deotale-Jyothi Surekha Vennam 155-157 dalam separuh akhir sebelum pilihan kedua dari India itu menumpaskan pasangan Taiwan, Chen Chieh Lun-Chen Yi Hsuan 159-154 pada aksi final.

Juwadi yang menduduki ranking ke-161 dunia, kemudian menambah kilauan pingat dengan mengecewakan pemanah nombor satu dunia dari Belanda, Mike Schloesser 148-146 dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Juwaidi gagal mara ke final selepas tewas 145-147 di tangan Jozef Bosansky dari Slovakia di separuh akhir.

Rabu lalu, Juwaidi memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam pusingan kelayakan selepas mengutip 714 mata untuk memadamkan rekod 709 mata sebelum ini yang dicipta di Kejohanan Memanah Asia 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 11:59 AM