PANDELELA (kiri) kini gigih menjalani latihan bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou.
PANDELELA (kiri) kini gigih menjalani latihan bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penyelaras program Road To Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam percaya ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong akan bangkit semula untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris selepas kempen mengecewakan di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun, Julai lalu.

Jelasnya, Pandelela sudah pulih daripada kecederaan bahu dan bersedia untuk bersaing pada temasya Sukan Asia di Hangzhou, China bermula 23 September sehingga 8 Oktober ini.

"Saya sendiri telah melihat Pandelela kembali menjalani latihan dan dia berada dalam keadaan sempurna. Dia sudah bersama dengan pasukan sekarang (di Sukan Asia).

"Saya percaya setiap atlet mempunyai peluang kelayakan yang berbeza. Sukan Asia bukan satu-satunya peluang kelayakan (ke Olimpik Paris) untuk acara terjun.

"Terdapat beberapa lagi pusingan kelayakan. Jadi saya percaya fokus utama adalah untuk layak ke Olimpik terlebih dahulu," katanya.

Jelas Stuart, pihaknya akan terus membantu setiap atlet RTG termasuk skuad terjun untuk layak ke Olimpik Paris dengan menyediakan sistem sokongan terbaik.

"Pandelela pernah beraksi di Olimpik dan Kejohanan Dunia. Saya percaya dia mampu mengatasi segala tekanan dan tahu apa yang diperlukan oleh dirinya sendiri.

"Sama juga dengan Datuk Azizulhasni (Awang) serta barisan pemain badminton negara, mereka memahami apa yang diperlukan.

"Kami boleh memberikan sokongan yang diperlukan tetapi akhirnya terpulang kepada atlet dan mereka juga tahu jangkaan yang diletakkan di bahu masing-masing," katanya.

Di Fukuoka, skuad terjun negara gagal membawa pulang sebarang pingat dengan pencapaian terbaik adalah menerusi penerjun muda, Bertrand yang menamatkan aksi di kedudukan ke-10 pada final 10 meter (m) platform lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 2:52 PM