WENDY (kanan) akan beraksi di Kejohanan Dunia Akuatik. FOTO MOM
WENDY (kanan) akan beraksi di Kejohanan Dunia Akuatik. FOTO MOM
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Penerjun negara, Wendy Ng mahu memburu slot kelayakan awal ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Kejohanan Dunia Akuatik yang bakal berlangsung di Fukuoka, Jepun pada Julai depan.

Menurut Wendy, sekiranya dia berjaya mengesahkan slot ke Olimpik dengan lebih awal, ia akan memberi kelebihan buat dirinya untuk melakukan persiapan terbaik menjelang temasya berprestij itu.

"Sudah tentu mahu melayakkan diri (ke Olimpik) lebih awal kerana ia akan memberi saya tempoh masa yang panjang selepas itu untuk membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik.

"Sebab itu, kami buat perancangan dan persiapan untuk tempoh yang agak panjang bagi menghadapi Kejohanan Dunia kali ini. Saya janji akan cuba menampilkan persembahan terbaik," kata Wendy yang akan beraksi dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu.

Dalam pada itu, pemenang pingat perak Sukan Asia Jakarta 2018 dalam acara 3m papan anjal seirama itu juga berharap dapat disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) sekiranya berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris.

Setakat ini, hanya dua penerjun yang berada dalam program RTG iaitu Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

"Sebagai atlet, sudah tentu saya mahu berada dalam program ini. Namun, saya sedar saya perlu buktikan kemampuan terlebih dahulu dan saya pasti akan buat yang terbaik di Kejohanan Dunia untuk layak ke Olimpik," kata Wendy yang sudah tiga kali beraksi di pentas Olimpik.

Menurut Wendy, dia akan beraksi dalam saingan Piala Dunia FINA di Montreal, Kanada, bulan depan yang disifatkan sebagai kejohanan pemanas badan buat dirinya sebelum beraksi di Kejohanan Dunia.

"Di Kanada nanti, saya boleh tahu tahap prestasi semasa saya dan apa kelemahan yang saya perlu perbaiki sebelum saya ke Fukuoka," katanya yang sebelum ini bergelut dengan masalah kecederaan bahu tetapi memberitahu ia sudah pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 5:56 PM