MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO MIKAIL ONG
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO MIKAIL ONG
Ferzalfie Fauzi


Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan atlet yang berada dalam program Road To Gold (RTG) akan dinilai semula kedudukan mereka pada September depan.

Beliau berkata, seperti diumumkan tahun lalu, jawatankuasa program berkenaan akan buat pemantauan dan penilaian.

"Buat masa ini proses kelayakan untuk Sukan Olimpik (Paris 2024) sedang berjalan, untuk atlet terjun dan badminton kita akan tunggu sehingga September.

"Kita masih ada peluang bagi proses kelayakan Olimpik," katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Al-Ikhsan, hari ini.

Beliau berkata, buat masa sekarang semua atlet yang terpilih dalam program RTG kekal sehingga penilaian semula dilakukan September depan, walaupun ada atlet yang mengalami penurunan prestasi seperti Datuk Pandelela Rinong (terjun) dan Lee Zii Jia (badminton).

Pandelela misalnya tidak berjaya memberikan persembahan mantap di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun, baru-baru ini, manakala Zii Jia tersingkir di pusingan pertama Terbuka Korea, semalam.

Ditanya mengenai prestasi Zii Jia, Hannah percaya mengenai peranan diberikan Wong Tat Meng selaku jurulatih baharu pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu.

"Dia bukan serta-merta boleh dapatkan hasil, jadi kita perlu bagi peluang kepada jurulatih untuk ambil ruang melatih Zii Jia balik kepada prestasi asal.

"Saya harap dia boleh kembali bangkit," kata Hannah

Mengenai Pandelela, Hannah mengakui masih ada peluang buat Ratu Terjun Negara itu untuk mengutip mata di kejohanan lain seterusnya melayakkan diri ke Olimpik.

"Seperti yang saya katakan, kita akan bincang semula prestasi mereka dalam mesyuarat September depan.

"Kita ada penasihat teknikal dan ada atlet lain dalam program RTG. Seperti kita umumkan RTG untuk kitaran dua Olimpik.

"Kalau kita lihat pencapaian kejohanan yang berjalan setiap minggu dan singkirkan (keluar dan masuk) ia tak bagus untuk atlet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 7:52 PM