STUART turut mengumumkan Bertrand disenaraikan dalam Program RTG. FOTO AZIAH AZMEE
STUART turut mengumumkan Bertrand disenaraikan dalam Program RTG. FOTO AZIAH AZMEE
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Dua ratu penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri digugurkan daripada program Road To Gold (RTG) selepas gagal menempah slot ke Olimpik Paris 2024.

Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, meskipun mereka tidak berada di dalam perancangan Olimpik Paris 2024, pihaknya akan tetap bekerjasama dan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa atlet itu.

Jelasnya, sekiranya mereka kembali mempamerkan terjunan emas, peluang mereka untuk kembali ke dalam program RTG kembali terbuka.

"Jawatankuasa RTG memutuskan untuk mengeluarkan penerjun wanita negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri daripada program RTG. Meskipun mereka melakukan yang terbaik untuk membanggakan negara sepanjang tahun tetapi malangnya, di sebalik usaha terbaik mereka, kedua-duanya tidak berjaya mara ke Sukan Olimpik Paris menerus Kejohanan Akuatik Dunia baru-baru ini di Doha, Qatar yang menjadi acara kelayakan terakhir.

"Bagaimanapun, kedua-duanya akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium sebagai atlet elit negara.

"Jawatankuasa RTG akan terus memantau kemajuan mereka dan Program Podium akan bekerjasama rapat dengan atlet dan persatuan untuk memastikan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri menerima semua sokongan untuk mereka menemui semula rentak yang diharapkan sebelum dipertimbangkan semula untuk dimasukkan ke dalam program pada masa hadapan," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa program RTG di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Tambahnya lagi, meskipun Pandelela dan Dhabitah tiada lagi dalam RTG, alatan latihan yang dibiayai oleh Program RTG seperti platform latihan gim kering baharu (5m), pusat pemulihan khusus dan papan anjal baharu yang diluluskan Fina akan menjadi pelaburan jangka panjang.

Selain itu, Stuart turut mengumumkan penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises yang menjadi wakil tunggal negara dalam sukan itu layak beraksi di Paris disenaraikan dalam Program RTG bagi membantunya melakukan persiapan menghadapi temasya terbesar itu.

"MSN memulakan Program Fast-Track dengan misi mewujudkan atlet muda dan berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

"Setakat ini, dua sukan tersenarai dalam Program Fast-Track iaitu terjun dan skuasy. Kriteria untuk berada dalam ini ialah berada di kedudukan 20 terbaik dunia selain beberapa kriteria lain," katanya.

Selain itu, pasangan terjun Rhodict, Enrique Maccartney Harold dan beberapa atlet skuasy turut di masukkan di dalam Program Fast Track.

Antaranya, Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:38 PM