WENDY perlu membuktikan kemampuan di Kejohanan Terjun Dunia di Fukuoka, Jepun pada 14 hingga 30 Julai. FOTO FB NG YAN YEE
WENDY perlu membuktikan kemampuan di Kejohanan Terjun Dunia di Fukuoka, Jepun pada 14 hingga 30 Julai. FOTO FB NG YAN YEE
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad terjun negara menyimpan impian besar untuk menjadi penyumbang emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan melakukan persiapan rapi termasuk menyediakan atlet terbaik bagi menyertai program Road To Gold (RTG).

Berikutan itu, kem terjun negara ketika ini berkira-kira mahu menambah seorang lagi wakil dalam RTG selepas Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri berada dalam program terbabit.

Ketika ini, Pandelela dan Nur Dhabitah menyertai 15 atlet yang tersenarai dalam program RTG iaitu projek digarap untuk meraih emas pertama negara di Olimpik.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia, Mae Chan berkata, antara atlet lain berada dalam radar mereka ketika ini adalah Wendy Ng Yan Yee.

Bagaimanapun. katanya, penerjun berusia 29 tahun itu perlu membuktikan kredibilitinya di Kejohanan Terjun Dunia di Fukuoka, Jepun pada 14 hingga 30 Julai depan dengan cuba melayakkan diri ke Paris 2024.

Bagi tujuan itu, Wendy perlu menempatkan diri sebagai 12 penerjun terbaik bagi acara individu, sementara dalam acara seirama, dia dan pasangan perlu berada sebagai tiga terbaik untuk meraih tiket automatik ke Paris 2024.

Bagaimanapun, Mae Chan berkata, situasi berbeza untuk skuad lelaki memandangkan tahap mereka masih belum memuaskan untuk diserap masuk ke dalam program RTG.

"Kebarangkalian tinggi adalah Wendy Ng dalam acara tiga meter papan anjal seirama dan untuk atlet lelaki, sedikit sukar kerana perlu menunggu generasi seterusnya.

"Generasi penerjun lelaki ketika ini terutama yang terbaik kita ada adalah Ooi Tze Liang yanhg mungkin atau tidak layak ke Paris 2024 kerana darjah kesukaran untuk acara lelaki adalah amat tinggi.

"Ada beberapa kejohanan kerana selepas Kejohanan Terjun Dunia di Fukuoka, diikuti pula Kejohanan Piala Dunia pada tahun depan.

"Di dalam negara pula, kita sedang cuba untuk memohon kepada Persekutuan Renang Asia untuk membida hak penganjuran Kejohanan Terjun Asia yang turut akan menawarkan slot ke Paris 2024," katanya ketika ditemui di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Malaysia bakal mempertaruhkan 12 penerjun ke Fukuoka, Jepun dengan harapan untuk cuba meraih slot ke Paris 2024 secepat mungkin supaya mudah melakukan persiapan rapi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 4:51 PM