PANDELELA dipilih Olahragawati Kebangsaan kali keempat semalam.
PANDELELA dipilih Olahragawati Kebangsaan kali keempat semalam.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mahu menjadikan gelaran Olahragawati Kebangsaan buat kali keempat sebagai semangat buat dirinya untuk terus bekerja keras bagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Atlet kelahiran Sarawak itu berkata, dia memberi bayangan akan terus berkecimpung dalam bidang sukan terjun selagi khidmatnya diperlukan.

"Sebenarnya saya tidak jangka dapat memenangi anugerah ini kerana pencapaian pada 2021 ada naik dan turun.

"Ketika di Piala Dunia memang saya rasa agak gempak apabila berjaya memenangi pingat emas (10 meter platform individu) namun rezeki tidak memihak kepada saya di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Tahun lepas saya juga dicalonkan untuk anugerah ini tetapi bukan rezeki saya untuk memenanginya. Jadi, kali ini saya sangat gembira apabila memenanginya.

"Saya suka apa yang saya lakukan sekarang, saya harap boleh teruskan kerjaya dalam sukan terjun ini selama yang boleh. Di samping itu, saya juga berharap boleh lakar lebih banyak kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa," katanya.

Pandelela yang memenangi perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama sebelum ini turut meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan pada 2011, 2012 dan 2015.

Pada tahun 2021, Pandelela membawa pulang emas pada Kejohanan Terjun Piala Dunia di Tokyo dan mengenepikan cabaran empat lagi calon lain iaitu Meilaura Dora Jimmy (bina badan), Rachel Arnold dan Aifa Azman (skuasy) dan Nur Amisha Azrilrizal (Muaythai).

Berkongsi perkembangan kerjayanya, Pandelela memberitahu dia ketika sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun , Julai depan.

"Itu adalah kelayakan pertama untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan saya berharap dapat menghasilkan keputusan yang positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 4:04 PM