VAN der Poel berjaya mencipta sensasi di Glasgow. FOTO AFP
VAN der Poel berjaya mencipta sensasi di Glasgow. FOTO AFP
Reuters

Glasgow: Mathieu van der Poel menjadi pelumba Belanda pertama muncul juara dunia lebih raya selepas hampir 40 tahun selepas memberikan kayuhan hebat mengelilingi jalan yang dibasahi hujan di Glasgow sebentar tadi.

Pelumba berusia 28 tahun itu melakukan serangan daripada kumpulan pendahulu kecil ketika berbaki 14.3 kilometer (km), menyebabkan pencabarnya Tadej Pogacar, Wout van Aert dan Mads Pedersen ketinggalan.

Van der Poel mempamerkan kayuhan bertenaga malah terselamat ketika terjatuh di selekoh berminyak yang menyebabkan bajunya terkoyak dan kasutnya rosak.

Dia mengekalkan penguasaan ketika melintasi ramai penonton dan kebanyakan hadir dengan mengenakan warna bendera Belanda.

Dia juga mengatasi kegusaran di hujung saingan dengan melalui dengan selamat 43 selekoh tajam, sebelum mengangkat tangan setinggi-tingginya ketika melintasi garisan penamat di Dataran George.

Bekas juara dunia cyclocross menjadi pelumba Belanda pertama memenangi jersi pelangi bagi saingan lebuh raya lelaki sejak Joop Zoetemelk melakukannya pada 1985.

Van Aert dari Belgium menduduki tempat kedua dengan Pogacar dari Slovenia menewaskan Pedersen untuk pingat gangsa.

Perlumbaan sejauh 271km yang bermula di Edinburgh dihentikan selama hampir sejam selepas penunjuk perasaan daripada kumpulan alam sekitar 'This Is Rigged' menghalang laluan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 12:13 AM