SOON HUAT-SHEVON memang ingin memenangi gelaran di laman sendiri. -FOTO Aswadi Alias
SOON HUAT-SHEVON memang ingin memenangi gelaran di laman sendiri. -FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas menamatkan kemarau kejuaraan di laman sendiri apabila muncul juara Masters Malaysia sebentar tadi, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai mengakui suasananya sangat luar biasa.

Bukan sahaja mendapat sokongan padu penonton di Axiata Arena, malah kehadiran keluarga, ibu bapa juga menjadi tonik tambahan buat mereka ketika beraksi di dalam gelanggang, sekali gus menang ke atas Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia 18-21, 19-21.

"Minggu ini sangat berbeza, memang penonton menyokong kami, malah ibu bapa saya hadir ke Axiata Arena, merasai detik manis di laman sendiri," kata Shevon yang turut mengakui kenangan di Terbuka Switzerland juga tetap dikenang kerana muncul juara selepas kali ketiga berturut-turut tampil di final.

Sementara itu, Soon Huat pula berkata, impiannya adalah untuk memenangi Terbuka Malaysia selepas hanya melihat pasangan negara lain berbuat demikian.

"Sebenarnya impian saya adalah Terbuka Malaysia kerana setiap kali kejohanan, hanya melihat pemain negara lain muncul juara, menaiki podium, jadi kami melakukannya di Masters Malaysia, juga sudah cukup mengubati," ujar Soon Huat.

Pasangan itu mengakui, mereka berdua terlalu komited sehingga setiap kali tewas, masing-masing membawa haluan sendiri termasuk ketika kalah di pusingan pertama Terbuka Thailand minggu lalu.

"Selepas kalah di Thailand, kami berdua bilikā€¦ langsung tidak bercakap sesama sendiri hingga pagi esok.

"Tapi kami berdua sudah berkahwin dan perlu tahu apa yang perlu di lakukan dan kami putuskan untuk kembali berlatih dan berusaha gigih untuk kejohanan seterusnya," ujar Soon Huat.

Selepas ini, gandingan profesional itu akan berlepas ke Singapura, bagi menghadapi saingan Super 750, Terbuka Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 7:06 PM