PEMILIK Sang Kenari Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar ketika sidang media di pejabatnya hari ini. -FOTO Izzali Ismail
PEMILIK Sang Kenari Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar ketika sidang media di pejabatnya hari ini. -FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dijangka bakal mengumumkan penaja utama bagi musim Liga Malaysia 2024-2025 pada awal Julai depan serentak dengan pelancaran jersi baharu untuk Sang Kenari musim ini.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memaklumkan, perkembangan positif diterima pihaknya berkaitan minat dari beberapa pihak penajaan untuk bersama kelab sejak dua minggu lalu ini membabitkan perbincangan untuk bekerjasama.

"Saya sentiasa berhubung dengan mereka (penaja), bukan sahaja penaja utama tetapi penaja kedua, ketiga, keempat dan semuanya kerana mereka sangat penting untuk KDA FC.

"Saya yakin dalam sedikit masa lagi kita boleh umumkan penaja itu kerana sekarang semuanya dalam peringkat akhir. Kita akan umum nama penaja utama itu semasa pelancaran jersi pasukan yang dijangka pada awal bulan Julai nanti," katanya.

Mohd Daud juga berkata selaras dengan program Perekonomian KDA FC yang sedang diumumkan ketika ini ia turut membabitkan tiga syarikat iaitu GTR Burger, SBP Health dan e-Desa yang antaranya dapat menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi KDA FC dan juga penaja berkenaan.

Menurutnya tiga syarikat yang dinyatakan itu bakal menawarkan pelbagai produk untuk penyokong dan kerjasama ini juga diyakini mampu mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.

"Setakat kini, Sang Kenari sudahpun menerima lebih 10 penaja dan hari ini, kita umumkan secara rasmi tiga syarikat ini dahulu.

"Sebelum ini kita banyak dapat penajaan secara 'one-off' tetapi kali ini kita lebih fokuskan kepada penajaan dan perkongsian komisen" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 6:21 PM