GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Ipoh: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bebanan tugas serta masalah kekurangan guru dapat diatasi apabila sistem satu sesi di semua sekolah di seluruh negara dilaksanakan sepenuhnya.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, langkah itu penting bagi memastikan golongan guru tidak terbeban dengan sesi pembelajaran apabila membabitkan jumlah pelajar yang ramai.

"Sememangnya hala tuju KPM ialah untuk melaksanakan sekolah satu sesi. Sekiranya sekolah terbabit cukup syarat yang mengizinkan sekolah satu sesi akan dilaksanakan tetapi sekiranya keadaan sekolah terlalu padat maka dua sesi akan diteruskan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Taiping bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Masuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuh Hua di sini hari ini.

Wong berkata bagi tempoh dua tahun, usaha awal telah digerakkan bagi memenuhi keperluan guru antaranya pengambilan calon bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM dan pengambilan guru baharu secara kontrak melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

"Selain itu, penyelesaian untuk jangka masa panjang khususnya di kawasan bandar KPM memberi fokus dalam pembinaan sekolah baharu dan tahun ini 26 sekolah rendah serta menengah yang baharu akan dibina.

"Setiap kawasan yang memerlukan sekolah kita akan cuba membina sekolah di kawasan tersebut pada masa sama mengambil masa dalam pelaksanaan sekolah satu sesi itu," katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM berhasrat menjadikan semua sekolah di seluruh negara mempunyai sistem satu sesi dan tumpuan kini diberikan ke arah itu dalam memastikan usaha berkenaan terlaksana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 5:53 PM