INSIDEN baling batu dan suar selepas perlawanan KL City dan JDT semalam. FOTO Tular
INSIDEN baling batu dan suar selepas perlawanan KL City dan JDT semalam. FOTO Tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menerima satu laporan berhubung kekecohan selepas perlawanan bola sepak antara Kuala Lumpur City dengan Johor Darul Takzim (JDT) di luar perkarangan Stadium Cheras, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi empat minit 42 saat di Youtube kira-kira 2 petang tadi.

Menurutnya, video berkaitan kekecohan terbabit dimuat naik oleh pemilik akaun 'Fr7 Reborn'.

"Semakan dilakukan mendapati sekumpulan penyokong yang keluar daripada Stadium Cheras mula membaling objek dan mercun di luar stadium.

"Berhubung kejadian ini, polis menerima satu laporan polis berkaitan kes pecah cermin kereta daripada seorang lelaki," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan berhubung kejadian terbabit.

"Usaha mengesan suspek-suspek yang terbabit dalam kes ini sedang giat dijalankan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu suspek boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/ 5051.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 5:48 PM