ZIANA Zain pada Konsert Ziana Zain 2024 di Mega Star Arena. FOTO Aziah Azmee
ZIANA Zain pada Konsert Ziana Zain 2024 di Mega Star Arena. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Momen penyanyi Ziana Zain, 56, sempat melayan panggilan telefon bapanya, Zain Abdullah, 86, pada Ziana Zain Konsert 2024 di Mega Star Arena, di sini, malam tadi, cukup menyentuh ramai.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 56, berkata panggilan video memang cukup menjadi kebiasaan untuk bapanya memeriksa sewaktu dia bekerja.

"Abah memang macam itu. Dia sangat risau jika membabitkan soal kerja. Masa nak minta restu sebelum pergi latihan konsert, abah menangis dan sambil berpesan buat yang terbaik demi rezeki halal.

"Bila abah dapat tengok anak dia atas pentas, dia amat gembira. Itu yang saya sempat beritahu baju apa yang saya pakai serta gaya solekan. Dua elemen itulah abah perlu tahu kerana itu adalah keutamaannya," katanya.

Kata Ziana lagi, memang sehingga sekarang bapanya sangat ambil berat mengenainya dan doa ibu bapanya sentiasa menjadi pegangan terpenting dalam hidupnya.

 

"Bayangkan pada usia saya 56 tahun, selain bertanya khabar, abah masih mengambil berat soal penampilan saya dengan bertanya baju apa yang dipakai dan siapa jurusolek.

"Abah sentiasa doakan saya. Memandangkan abah tak dapat nak hadirkan diri berikutan masalah kesihatan dan adik, Anuar Zain tahu yang abah teringin nak tengok saya di pentas, itu yang dia buat panggilan video," katanya.

Lebih istimewa, Ziana turut mengumumkan berita gembira iaitu bakal mengadakan konsert yang sama di Singapura. Konsert itu bakal diadakan di The Star Theatre pada 28 September depan.

Berdurasi tiga jam, Ziana memukau kira-kira 5,000 peminat dengan persembahan cukup gah dan celotehnya bersahaja. Magisnya sebagai penghibur hebat sukar ditidakkan menyanyi lebih 20 lagu.

Lagu-lagu didendangkan termasuk Kasihku Pertahankan, Setiaku Di Sini, Kemelut Di Muara Kasih, Kekal, Berpisah Jua, Anggapanmu, Sangkar Cinta, Terkenang Jua, sebelum mengakhiri konsert itu menerusi lagu berhantunya, Madah Berhelah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 5:59 PM